Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Staf Am Tentera Syria pada hari Khamis mengatakan bahawa pakatan yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah melancarkan sebuah serangan udara yang kemudiannya mengenai sebuah pusat simpanan yang berkemungkinan dijadikan tempat penyimpanan bahan bertoksik oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh sekaligus menyebabkan ratusan orang terbunuh termasuk orang awam. Washington walau bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut.
Pada 4 April yang lepas, Amerika Syarikat dan sekutunya pernah menuding jari ke arah pentadbiran Damsyik berikutan serangan kimia yang berlaku di Idlib. Serangan kimia di pekan Khan Shaykhun itu menyebabkan sekitar 80 orang terbunuh dan 200 yang lain mengalami kecederaan.
Amerika Syarikat tidak menunggu lama sebelum menggesa Majlis Keselamatan untuk bertindak ke atas pelaku serangan itu. Setelah gagal mendapat persetujuan sebahagian daripada ahli Majlis Keselamatan, mereka bertindak secara unilateral dengan melancarkan 59 buah peluru berpandu Tomahawk ke atas pangkalan udara Sha'irat milik Syria yang terletak di wilayah Homs.
Amerika Syarikat percaya bahawa pangkalan udara itu telah digunakan untuk melancarkan serangan di kimia di Idlib.
Rusia secara keras membantah tindakan itu dengan mengatakan bahawa Washington telah melakukan kekerasan ke atas salah sebuah negara anggota PBB. Damsyik turut menafikan tuduhan itu dengan mengatakan bahawa mereka tidak lagi memiliki simpanan senjata kimia.
Menurut Rusia, serangan kimia di Idlib berlaku setelah bom yang dilancarkan oleh pesawat tentera Syria mengenai sebuah depot senjata kimia milik pengganas di Idlib sekaligus membuktikan bahawa kumpulan pemberontak Syria memiliki senjata pemusnah itu.
Syria dan Rusia mahukan sebuah siasatan yang tidak berat sebelah dimulakan berikutan insiden di Idlib. Rusia juga pernah menolak resolusi Majlis Keselamatan yang didakwa Damsyik telah didraf untuk meletakkan kesalahan ke atas mereka terlebih dahulu.
Laporan Di Deir ez-Zor
Menurut Tentera Syria, pakatan yang diketuai Amerika Syarikat pada hari Rabu jam 5:30 hingga 5:50 pagi telah menyasarkan sebuah depot yang digunakan untuk menyimpan bahan bertoksik.
"Mula-mula, asap putih kelihatan di tempat serangan sebelum disusuli oleh asap kuning sekaligus menunjukkan kewujudan bahan beracun. Sebuah kebakaran berlaku hingga jam 22:30 (19:GMT) di tempat kejadian," baca kenyataan tentera Syria.
Hasil serangan A.S menunjukkan bahawa kumpulan Takfiri Daesh memiliki senjata kimia yang boleh digunakan secara besar-besaran.
Amerika Syarikat Dalam Dilema
Jiakalau laporan kerajaan Syria berhubung serangan di Deir ez-Zor berjaya disokong dengan bukti yang relevan, perkara itu akan membuktikan dakwaan Rusia bahawa kumpulan pengganas di Syria sememangnya memiliki senjata pemusnah, kata Ketua Suruhanjaya Pertahanan Dan Keselamatan Parlimen Rusia, Viktor Ozerov.
Perkara ini akan menyebabkan Washington berada di dalam dilema memandangkan "mereka harus menjelaskan kenapa senjata kimia yang menurut mereka telah digunakan oleh Damsyik sebenarnya dimiliki oleh kumpulan pengganas sendiri," kata Ozerov.
/315